Tuesday 24 April 2012

Apakah Mekah akan kembali ke zaman Jahiliah


Mekah Kini
Hari ini suasana haji menjadi seolah-olah bertentangan dengan ajaran asas Islam itu sendiri. Jabal Omar Development yang diamanahkan untuk membangunkan Masjid al-Haram memperuntukkan $3.3 billion bagi merealisasikan impian kerajaan Arab Saudi, namun mengalami kesulitan dalam mencari dana yang sebegitu besar.
Umum beranggapan Mekah bakal menjadi sebuah tempat ibadat yang cukup hebat dan gah di mata masyarakat yang beragama lain sehingga kebanggaan itu menjadi salah satu faktor kepesatan sektor pelaburan di Mekah dan kawasan-kawasan sekitarnya. Anggapan sebeginilah yang melemahkan jiwa dan minda umat Islam di seluruh dunia sehingga kesan serangan Barat terhadap dunia Islam dipandang sebelah mata – akibat penyakit al-Waḥn (الوحن) di dalam hati umat Islam.
Tidak cukup dengan itu, Putera Saudi, Khaled al-Faisal di dalam sebuah pertemuan dengan wakil PBB pada bulan Ogos yang lalu, menyatakan bahawa Mekah akan dibangunkan menjadi bandar termaju dan tercantik di dunia. Pembangunan sebegini juga akan dilakukan kepada Madinah dan Mina bagi menyamaratakan tahap pembangunan seperti di Mekah.
Sekali lagi Mekah akan kembali diingati dengan kemewahan disekelilingnya, dan bukan penghayatan penderitaan Nabi Ibrahim, Siti Hajar dan Nabi Ismail dalam menempuhi suruhan berda‘wah serta ujian kecintaan terhadap keduniaan.
Malah, Bukit al-Safa dan Bukit al-Marwah kini ditutup sepenuhnya bagi memberi keselesaan kepada para jemaah haji dalam melakukan saei. Lantainya juga dilapisi dengan marmar mahal bagi memberi kemudahan para jemaah haji untuk berlari tanpa merasa tidak selesa.
Tidak dinafikan bahawa jemaah haji terdiri daripada pelbagai lapis masyarakat yang datang dari seluruh pelusuk dunia, namun keselesaan sebegini akhirnya menjadi barah akibat hilangnya makna dan penghayatan saei dalam setiap jiwa para jemaah haji. Tujuh kali larian di antara kedua-dua bukit tersebut hanya menjadi memori di dalam album gambar, manakala penderitaan Siti Hajar mencari air buat puteranya akibat ditinggalkan suami yang keluar berdakwah hanya menjadi teks di dalam buku-buku agama.
Sujud atau Sembah?
Sewaktu di zaman jahiliyyah, Kaabah dikelilingi oleh beribu-ribu berhala yang dibawa masuk oleh masyarakat Mekah sendiri dan para pedagang yang datang dari negeri-negeri lain. Kemasukan berhala ini dipelopori oleh Amru bin Luhay bin Qamaah dan setelah itu lambakan berhala semakin bertambah akibat Mekah merupakan pusat perniagaan yang berkembang pesat.
Berhala-berhala ini menjadi sumber pendapatan yang utama di Mekah. Orang ramai yang berpusu-pusu datang ke Mekah akan menabur wang di setiap berhala yang disembahnya bagi mendapatkan apa yang dihajati. Wang-wang ini dikutip oleh pembesar Mekah ketika itu sehingga menjadikan mereka terlalu cintakan tuhan ciptaan mereka yang menjadi modal untuk mendapatkan keuntungan dengan cara yang paling mudah dan paling cepat.
Setelah umat Islam dapat mengambil Mekah atas pimpinan RasuluLlah SAW, berhala-berhala ini semuanya dimusnahkan. Pemusnahan kesemua berhala-berhala ini bagi menyatakan kebesaran Ka‘bah yang menjadi hanya satu-satunya tempat tertumpu sujud, namun bukan Kaabah yang disembah tetapi Allah SWT semestinya.
Solat mengadap Kabah merupakan syiar, sehingga menimbulkan ketaqwaan hati bagi muslim yang benar-benar menghayati syiar Allah SWT:
Demikianlah (perintah Allah); dan sesiapa yang mengagungkan syiar-syiar Allah maka (dialah orang yang bertaqwa kerana) sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat taqwa hati orang mukmin.
[QS al-Ḥajj 22:32]
Para ulamak juga sependapat bahawa jika Kaabah musnah sekalipun, umat Islam tetap akan solat dan tawaf tertumpu di tempat Kaabah. Inilah nilai makna yang diajar dalam Islam, penyembahan bukan kepada objek yang disembah tetapi penyembahan kepada Allah SWT melalui syiar yang digariskanNya kepada seluruh umat Islam.
Sungguh indah ajaran Islam sehingga ke hari ini, sewaktu mendirikan solat, setiap muslim akan menghayati penyembahan kepada Allah SWT dan bukan Kaabah walaupun kiblat yang dituju adalah Kaabah itu sendiri.
Mekah Kembali Ke Zaman Jahiliyyah
Kini Mekah kembali dibayangi masyarakat jahiliyyah disekelilingnya. ‘Berhala-berhala’ berwajah modenisme yang memberi keuntungan berlipat-ganda kepada pembesar Mekah sehinggakan ibadat haji dan umrah di Mekah menjadi kenangan manis dan amalan ritual semata-mata tanpa menusuk maknanya di dalam sanubari setiap jemaah haji. Malah, berhala-berhala ini menjadi pilihan golongan berkemampuan sehingga jurang antara kaya dan miskin semakin mendalam.
Solat umat Islam di seluruh dunia mencecah bangunan Hilton Mekah, sebelum tiba di Kaabah. Rukuk umat Islam di seluruh dunia merentasi KFC Mekah, sebelum menuju Kaabah. Sujud umat Islam menyembah Hotel Dar al-Tawhid Mekah, sebelum mencapai Kaabah. Inilah gambaran Mekah hari ini setelah permodenan dibangunkan tanpa mengambil kira teras ajaran Islam yang mengajar umatnya tentang kesederhanaan cara hidup dan keharmonian antara jasmani dan rohani.
Keduniaan yang sepatutnya ‘disembelih’ di Mekah, kini dibawa pulang semula ke tanah air masing-masing. Dan umat Islam masih seperti sebelum kedatangan mereka ke tanah suci Mekah – penindasan golongan mampu kepada golongan yang tertindas masih belum berakhir. :)




No comments:

Post a Comment